Zahir nilai perpaduan, saling menghormati





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Pg. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman




 

GADONG, Selasa, 14 April. - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) pagi tadi menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan 'Silaturahim Syawal Bersama SHENA' bagi memperkukuh hubungan erat dengan para pihak berkepentingan, di samping menghayati semangat Hari Raya Aidilfitri.


Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas SHENA.


Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, serta pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah SHENA, bersama jemputan dari pelbagai agensi kerajaan dan organisasi.


Majlis ini menghimpunkan wakil-wakil daripada agensi kerajaan, rakan sektor swasta, pemain industri serta warga SHENA dalam suasana penuh kemesraan yang menzahirkan nilai perpaduan, kerjasama dan saling menghormati.


Sebagai acara tahunan, sambutan Syawal ini berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh perkongsian strategik serta mempertegaskan peranan SHENA dalam memajukan amalan tenaga yang mampan dan sihat di Negara Brunei Darussalam.


Ia juga mencerminkan penghargaan terhadap sokongan dan kerjasama berterusan daripada para pihak berkepentingan dalam menjayakan agenda peralihan tenaga dan kelestarian negara.


Close